PENTERJEMAHAN
Maksud Terjemahan :
Penterjemahan atau alih bahasa ialah perbuatan mentafsir makna sesuatu teks dan menerbitnya semula dalam bahasa yang lain. Tujuan penterjemahan adalah untuk menghasilkan satu karya terjemahan (teks sasaran) yang membawa makna yang sama dengan sesuatu karya bahasa asing (teks sumber). Penterjemahan merupakan satu aktiviti yang penting untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kerana ia membolehkan masyarakat menikmati ilmu pengetahuan daripada budaya asing.
Biasanya, terjemahan merupakan pekerjaan manusia, tetapi selaras dengan perkembangan teknologi, penterjemahan sudah boleh dibantu dengan mesin, iaitu penterjemahan mesin.
Teori Terjemahan
Teori terjemahan dikemukakan awal oleh Etienne Dolet (1509-1546) pada awal tahun 1540. Prinsip-prinsipnya adalah:
- Penterjemah hendaklah benar-benar memahami isi dan hasrat penulis teks asal.
- Penterjemah mestilah menguasai dengan baik bahasa asal dan bahasa penerima terjemahan itu.
- Penterjemah tidak boleh menterjemah perkataan demi perkataan oleh sebab perbuatan itu akan merosakkan makna asal teks tersebut dan menyebabkan terjemahan itu tidak indah dibaca, walhal teks asalnya mungkin sangat sedap dan mudah dibaca.
- Penterjemah hendaklah menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang biasa digunakan di dalam bahasa penerima untuk menggantikan bentuk-bentuk bahasa asalnya.
- Penterjemah mestilah mencipta semula kesan dan semangat keseluruhan teks asal.
Dolet juga menyatakan bahawa amat penting untuk seorang penterjemah mengetahui semangat dan tujuan pengarang asal. Selain itu, beliau juga menyeru para penterjemah supaya tidak melakukan kesilapan terjemahan harfiah. Kaedah yang terbaik adalah dengan menterjemah menggunakan gaya bahasa harian. Kaedah ini amat sesuai terjemahan untuk pembacaan orang awam. Manakala menurut beliau unsur stilistik penting hanya untuk terjemahan yang serius sahaja.
Prinsip Terjemahan
Penerjemahan merupakan satu pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini adalah kerana penerjemahan yang tidak bersungguh-sungguh akan menimbulkan kekeliruan pembaca dan lebih-lebih lagi menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks sumber. Oleh itu, penerjemahan seharusnya dilakukan dengan berpandu kepada prinsip-prinsip yang tertentu.[1]
- Tidak mengubah maksud pengarang teks asal.
Prinsip ini adalah jelas untuk para penterjamah. Tetapi, pada praktikalnya para penterjemah sebenarnya sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana faktor perbezaan budaya dan bahasa. Tetapi, ini tidak bermaksud penterjemah diizinkan mengubah maksud pengarang teks asal dengan segaja. - Menghasilkan terjemahan yang mudah difahami pembaca.
Pentejemahan merupakan sebahagian daripada komunikasi. Oleh itu, sesuatu terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai. - Menghormati tatabahasa penerima.
Dalam proses menterjemahkan, tatabahasa bahasa penerima harus dihormati. Ini bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan. - Menterjemah Makna Bahasa bukan menterjemah bentuk bahasa.
Dalam proses penterjemahan, makna harus diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami.
Maka kesimpulannya, berpandukan kepada prinsip-prinsip ini, seorang penterjemah diharapkan dapat menghasilkan satu karya yang boleh dipercayai sebagai satu karya terjemahan, dan karya ini adalah sebuah karya yang boleh difahami serta selesa untuk dibaca.
Sekian, terima kasih.
~Afiqah Aiman Binti Kamarudin
Comments
Post a Comment